Cinta menjadi tema ruangan personaliti bulan ini. Saya mahu berbicara
tentang cinta. Mahu mendalami erti cinta. Saya ingin mengenali pahit
dan manis dalam bercinta. Dan cinta itu sendiri begitu luas ertinya. Tidak
hanya cinta pada kekasih dan sesama manusia tetapi cinta hadir pada agama,
bangsa dan negara. Pada Allah Yang Maha Berkuasa, pada alam dan pada
keamanan, pada budaya dan pada bahasa. Bagi kami, tiada insan lain
yang bisa menyentuh semua aspek dalam cinta kecuali Habsah Hassan.
Hampir 30 tahun memperjuangkan tema cinta. Dalam lirik tulisannya,
dalam filem serta drama yang diterbitkannya, falsafah Habsah tentang cinta
kami abadikan dalam ruangan ini. Saya belajar banyak perkara sepanjang
bersembang bersamanya. Saya teringat salah satu pertanyaan kepadanya, “Kak Chah (panggilan biasa untuk Habsah) tidak jemu bicara tentang
cinta, tidak bosan menulis lirik tentangnya selama 30 tahun.” Saya
suka sangat pada jawapannya, “Dik, cinta itu tidak pernah mati.” Saya
menambah, “Orang yang mematikannya ya kak?” “Ya pandai awak.
Orang yang mematikan cinta. Dan ada kalanya biarpun orang mati,
cinta tetap ada lagi.”
Habsah datang untuk pengambaran tepat waktu. Memang begitulah jika
bekerja dengan orang berpengalaman dalam bidang ini. Janji jam 12 tengah
hari, lima minit sebelum itu sudah tiba di set. Etika kerjanya jauh berbeza
dengan generasi hari ini. Daripada situ sahaja kita boleh baca profesionalisme
dan keseriusan mereka dalam bekerja. Kebetulan hari yang sama Habsah
perlu ke Singapura atas urusan kerja. Beliau menerbitkan siri TV 10 episod
untuk rangkaian TV Suria. Jadi perlu berada di sana untuk memantau
keperluan-keperluan akhir sebelum siri tersebut disiarkan lewat 30 Januari.
Siri yang berjudul Dikir Puteri ini lebih berkisar kepada kehidupan anak-anak
muda dan masalah serta cabaran yang mereka hadapi. “Mengapa Kak Chah
perlu ke negara orang mencari rezeki?” “Pokoknya rezeki ada di mana-mana
biarpun sampai kena merantau mencari rezeki, tak mengapalah. Memang
penat dan tertekan. Kalau dengan stesen televisyen tempatan ini pun, Kak
Chah perlu pitch tender, usulkan idea dan konsep tapi susah barangkali. Atau
mungkin idea Kak Chah tidak luar biasa kut, biarpun pabila Kak Chah
tonton TV tak ada lah yang luar biasa sangat. Jadi Kak Chah tertanya-tanya
mengapa tak dapat tender. Kak Chah sering tercari-cari punca mengapa tak
dapat. Hinggakan Kak Chah bertanya pada diri sama ada betul atau tidak
peribahasa ‘hujan batu di negeri sendiri, hujan emas di negeri orang, lebih
baik negeri sendiri’ itu masih relevan atau tidak. Kalau ada yang tidak betul
pada usul Kak Chah, ada yang tidak kena, beritahu supaya Kak Chah boleh
betulkan.”
|
| |
| *Artikel penuh dalam GLAM Februari. |
 |