“Leha tak mahu lagi bersama abang. Keputusan Leha muktamad, Leha tidak mahu dimadu. Titik.” Tidak pernah Datin Zaleha rasa tertipu begini. Padanya suaminyalah segala-galanya. Berasa hidupnya disia-siakan. Selama 54 tahun baru hari itu dirasakan hidup sekosong-kosongnya; dan hampa dan lebih daripada itu, dia rasa bodoh. Selama ini dia mempercayai suaminya seratus peratus. Dan memperhambakan dirinya kepada seorang lelaki. Apa sahaja kata suami, dan ke mana sahaja suami pergi, dia percaya akan kejujuran lelaki itu. Seperti dia yang amat jujur dan tidak tahu hendak menengok lelaki lain, walau pun sekadar minum bersama di Starbuck. Pada suami, tidaklah dia mengharapkan wang yang berjuta atau banglo di serata dunia, tapi dia ingat sehingga ke akhir hayat dia akan bersama suaminya itu.”

“Siapa Datuk Ali sebelum ini?” Saat itu Datin Zaleha mengingatkan pertemuan pertamanya itu. Dipertemukan pada malam persandingan sepupunya. Lepas itu Ali kerap menghubungi, tapi siapa keluarga Ali berbanding dengannya? Dan lebih menyedihkan, Ali pun anak angkat kepada keluarga itu. Sudah tentu cinta mereka dihalang, pun Zaleha yang tidak pernah memandang harta dan pangkat, biar dia eksekutif biasa, pada Zaleha apakah itu ukuran cinta? Cinta bukan boleh dijual beli. Kalau hati sudah terpaut, apalah perlu difikirkan daripada mana asal usul. Ibu dan ayahnya hendak kata apa, akhirnya menerima menantu pilihan anaknya, biar pun mereka punya sebaris lelaki daripada keluarga berada (saudara maranya juga) yang cukup layak untuk Zaleha. Lagipun apa kurang Zaleha? Dia berpendidikan tinggi, putih gebu lagi lemah lembut orangnya. Zaleha boleh pilih siapa sahaja yang dia mahu, tapi itulah jodoh namanya, entah apa yang dipandangnya pada si Ali itu, Zaleha jatuh cinta dan segera hendak berkahwin..

“Zaleha tahu kejayaan suami hasil usaha suami yang tidak pernah kenal jemu dan jelak. Pun waktu sama, Zalehalah di belakang kejayaan itu, kerana hubung kait keluarganyalah, Ali mendapat pelbagai kontrak. Daripada eksekutif, kepada pengurus kemudian pengurus besar dan seterusnya menjadi rakan kongsi kepada syarikat itu. Dalam masa perkahwinan mereka menghampiri 20 tahun, Ali sudah pun punya beberapa syarikat dan dikurniakan anugerah Datukship. “Ehem, lelaki memang gatal,” jeritnya di hati. Ada sikit duit mulakan menggatal, tapi aku ini, mengapa tidak pernah terlintas di hati hendak cemburukan laki? Aku ingat laki aku ini jujur manusianya dan tidak akan mensia-siakan hidup aku.”

 

 

 

“Tersentak hati dan jantung Datuk Ali. Tidak pernah disangka isterinya ini begitu nekad, dan tidak pun mahu berbincang. “Kita bincang dulu, sayang?” Sms dihantarnya banyak kali. “Tak ada apa yang perlu dibincangkan. Abang boleh terus bersamanya, sebab bagi Leha, either me or her. That’s it.” Dan nasibnya sungguh malang barangkali, banyak juga suami kahwin lagi dan isteri-isteri yang lain masih mahu bersama. Dia tahu, dia berlaku adil, kasih sayangnya pada Leha tidak pernah berbelah bagi, padanya derita Leha deritanya juga, kebahagiaan Leha adalah kebahagiaannya juga. Cuma sebagai lelaki dia tidak menolak kenakalan dan sifat jantannya itu. Sementelah kawan-kawannya banyak yang pasang dua tiga, malah ada sampai empat, keinginan ‘binatang’ tidak boleh ditolak. “Kenapa tidak Datuk hanya simpan dia?” Teringat temannya Iskandar memberitahu. “Is... apalah awak ini, selama mana hendak buat dosa, saya ini bukannya muda. Saya amat sayangkan dia, masakan tidak boleh saya jadikan dia isteri saya yang sah.” Dan Datuk Ali teringat pula satu lagi jawapan rakan kongsinya kala diberitahu dia sudah pun ijab kabul dengan Linda. “Saya ingat you main-main, rupanya you’re serious Ali. Isteri you kata apa?”

She will divorce me,” katanya ketawa. Tapi Amin, tolong simpan rahsia ini, hanya kita berdua sahaja yang tahu, “Leha is my life, saya tidak boleh hidup tanpanya. “Kau ini pelik Ali, kalau dah Leha itu jantung dan nyawa kamu, mengapa kamu tergamak berkahwin satu lagi?”

Dan itulah yang ramai tidak tahu, malah dia sendiri tidak faham bagaimana pada satu hari, dia boleh tidak senang duduk selagai tidak kahwin dengan Linda. Seperti dahulu dia jatuh cinta dengan Lehanya dan segera mengajak Lehanya berkahwin, begitu juga dengan Linda. Kebetulan Linda juga sudah habis edah. Dan berkenduri-kendara besar jugalah bagi pihak keluarga Linda. Sehingga hari ini hubungannya begitu rapat dengan keluarga Linda. “Apa salahnya Linda sampai aku terpaksa menceraikan dia? “Sebab dia tidak sabar-sabar hendak memberitahu isteri tua kamu,” jawab hati kecilnya. “Betul juga kata Linda, daripada mulutnya sendiri, dia tidak sampai hati memberitahu Leha.” “Ada baiknya juga Linda yang membuka rahsia itu,” berkata sebelah lagi hatinya.

 

 

 

Artikel selanjutnya sila rujuk majalah