Popular, glamor dan kejayaan. Mereka ada segalanya. Pastikan anda mendapatkan senarai penuh 20 Jelitawan Glamor pilihan GLAM untuk tahun ini dalam naskhah terbaru. Di sini, GLAM hanya menyenaraikan lima nama-nama yang terpilih. Siapakah mereka yang memiliki tuah berkuasa ini?

Jennifer Lopez
Namanya dipilih sebagai ‘Most Beautiful Woman 2011’ oleh People Magazine. Bakat dan kebolehannya pula sukar untuk disangkal. Disebabkan itu, hakim siri American Idol terbaru ini menjadi pilihan nombor satu GLAM. Pada awalnya, Jennifer memulakan kariernya dalam bidang tarian semasa berusia tujuh tahun sebelum melangkah ke layar perak menerusi filem My Little Girl. Ketika itu, Jennifer hanya berusia 16 tahun.

Anna Della Russo
Siapa yang tidak kenal dengan ikon fesyen ini. Berstatuskan editor dan konsultan kreatif untuk majalah fesyen terkemuka menjadikannya terus diangkat sebagai antara pengaruh fesyen paling popular. Ini kerana apa saja persalinan yang dipilih mahupun yang disarung, Anna punya aura glamor tersendiri. Seperti kata-katanya yang berbunyi, “I don’t want to be cool, I want to be fashion”, ternyata benar-benar dibawanya dalam setiap helaian yang digayakan.

Oprah Winfrey
Menduduki tempat ke-8, ikon wanita terhebat ini ditangisi orang ramai pada saat episode The Oprah Winfrey Show menutup tirai terakhirnya. Masakan tidak, talk show popular itu sentiasa dekat di hati penonton dengan paparan pelbagai kandungan bermakna dalam kehidupan realiti masyarakat. Kehidupan daifnya menjadikan Oprah tidak pernah jemu meniupkan kata-kata semangat kepada sesiapa saja disamping menunjukkan rasa prihatin terutama kepada mereka yang tidak bernasib baik.

Kate Middleton
Diperisterikan sang putera, dipakaikan tiara mahkota, dihiasi persalinan memukau…kerana itu Kate Middleton terus diburui orang ramai kerana kehidupannya tidak ubah seperti kisah dongeng berfantasi. Kate yang kini menjadi Duchess of Cambridge pernah dikritik disebabkan gayanya yang serba tidak kena. Tetapi, semuanya berubah selepas Kate mula menyarung pelbagai busana mewah seperti Calvin Klein dan Alexander McQueen hingga menjadi antara ikon fesyen terkenal dunia.

Rosie Huntington-Whiteley
Nama model Victoria’s Secret ini melonjak selepas membintangi filem Transformers: Dark of the Moon. Bibirnya yang menggoda dan liuk lentok tubuhnya yang penuh daya sensual terus menjadi perhatian dunia. Kerana itu, Rosie menduduki tempat ke-17 kerana kejelitaannya yang memukau. Rosie juga diangkat sebagai FHM’s World’s Sexiest Woman 2011 dan bakal dipadankan bersama Rey Reynolds dalam kempen terbaru musim luruh 2011 buat Marks & Spencer.



