![]() |
Ringkas, moden tetapi segar. Sanggar percutian Jimmy Choo di Sentul West ini seakan-akan membelai jiwa personaliti hebat santero dunia itu setelah seharian berada di pusat kota. Di kondominium 'Gated' yang pertama ini, ilhamnya mengalir kencang. |
“KONSEP HIASAN RINGKAS DENGAN MEMADUKAN SOFA KULIT PUTIH DAN MEMERCIKKAN WARNA DENGAN STATEMENT PIECE IAITU KERUSI PUMPKIN LIGNE ROSET REKAAN EDISI TERHAD RONA BIRU.”
| Meski Datuk Jimmy Choo menetap di London dia kerap berulang alik ke Kuala Lumpur. Banyak projek yang ditanganinya di sini dan pada masa sama dia terus menjadi mentor untuk mengalirkan inspirasi kepada teman-teman, pereka dan perancang-perancang muda bagi menyemarakkan industri fesyen terutama dalam pembuatan kasut. Telah banyak yang diketahui mengenai personaliti ternama kelahiran Pulau Pinang ini, apatah lagi kejayaannya mencipta nama besar di London dengan sepatu jenama Jimmy Choo. | ![]() |
Sememangnya mengenali peribadi Jimmy Choo amat menyenangkan. Mewah senyum, tutur bicaranya lembut dan tidak sedikit pun riak angkuh terakam pada wajahnya. Biarpun nama sudah melangit dan memiliki empayar perniagaan, peribadinya masih sangat menyenangkan. Kesederhanaan tersebut turut terakam pada cita rasa peribadi termasuk dalam menata hiasan rumah. Memiliki beberapa kediaman di tanah air, antara yang sering dia singgah setiap kali pulang adalah kondominium Th e Maple@Sentul West. Alasannya, lokasi perumahan yang strategik. Lagi pula ia berdekatan pusat kota, mudah untuk dia berurusan. Kawasan perumahan itu didirikan di atas tanah seluas 35 ekar dikepung kehijauan dan tasik buatan. Justeru itu, Jimmy tidak terlalu menghias rumah sebaliknya memilih konsep moden dan ringkas.


Tidak gemar kediaman diserabuti perabot, Jimmy membiarkan rona putih mendominasi persekitaran ruang. Unit kondo tiga bilik diubah menjadi dua agar ruang tamu tampak luas dan lapang. Dia jatuh cinta dengan kehijauan yang memagari kawasan perumahan dan panorama indah ini bisa dihirup pereka hebat ini dari balkoni yang mengunjur ke luar dari ruang tamu dan kamar beradu utama.






