GLAM Seni: Tips menjaga koleksi seni bersama Raja Ihsan

Raja Ihsan, pengumpul setia koleksi terhad kepingan gambar vintaj dan cetakan artis dari awal kurun ke-19 kini mahu berkongsi bersama peminat GLAM dalam menjaga bahan-bahan seni daripada mudah rosak selain mengetahui langkah-langkah berjaga untuk menyimpannya dengan baik.

Akuinya, bukan mudah untuk setiap pengumpul mendapatkan koleksi seni itu jika bukan dengan bayaran wang ringgit yang mahal selain kepayahan untuk merantau semata-mata memenuhi impian untuk memilikinya dan diabdikan.

Jelasnya, terdapat dua kategori bagi cara menyimpan bahan seni berasaskan gambar atau cetakan iaitu pertama, jika individu itu mahu mempamerkan koleksi seni yang diperolehinya dan kedua adalah jika individu itu mahu meletakkannya di ruang menyimpan untuk dipamerkan pada masa akan datang.

“Pengumpul koleksi seni jenis ini pastinya mempunyai kuantiti yang banyak. Mustahil bagi mereka untuk mempamerkan kesemuanya malah muzium dan galeri turut menghadapi masalah yang sama. Jadi, masalah utama di sini adalah bagaimana untuk menyimpan kesemua koleksi itu.”

 

“Perlu diingat, jangan sesekali bahan-bahan itu disimpan di ruangan yang ekstrim iaitu dari segi darjah kepanasan, cahaya yang terlalu terang, kadar kelembapan yang tinggi dan ruangan yang terlalu gelap.”

Berikut adalah tips oleh Raja Ihsan:

Untuk tujuan mempamer

Bingkaikan setiap kepingan gambar atau cetakan
Menerusi langkah ini, anda perlu menghantar kepada framer yang tahu mahir dalam memulihara gambar atau cetakan dengan baik. Jika framer itu pernah menjalani latihan atau kursus yang memfokuskan kepada subjek ini malah pernah berpengalaman dalam melaksanakan tugas ini adalah yang paling ideal untuk anda memintanya menyempurnakan pembingkaian koleksi yang mahu disimpan.

Jenis bahan pelapik antara gambar dengan permukaan depan bingkai (frame glass)
Gunakan pelapik jenis bebas asid dan archival materials untuk melapik permukaan kepingan gambar atau cetakan. Untuk menampal pelapik ini, pastikan anda menggunakan pelekat bebas asid. Jangan gunakan pelekat biasa yang dijual di kedai alat tulis. Ini memudahkan anda untuk re-framing memandangkan iklim tropika hanya membuatkan pembingkaian bertahan antara tiga hingga lima tahun.

Gelas permukaan depan bingkai (frame glass)
Gunakan gelas permukaan depan bingkai jenis plexiglass dan bukan gelas biasa. Ini akan membantu melindungi kepingan gambar atau cetakan dengan perlindungan sinar ultra (UV). Ia juga lebih ringan dan tidak mudah pecah dan memudahkan anda mengalihkan koleksi tanpa masalah. Walaupun ia mahal namun amat berbaloi.

Untuk simpanan sahaja

Simpan di dalam kabinet yang diperbuat daripada kayu
Asingkan setiap gambar atau cetakan menggunakan pembalut tisu bebas kain tiras (atau ‘butter paper’ yang boleh diperoleh di kedai alat tulis) yang besar sebelum menyimpannya di dalam kabinet jenis kayu dan bukan besi. Letakkan juga bahan penyah-lembapan di dalam kabinet sama dan tukarkan bahan itu dengan kerap. Ini kerana tempoh yang terlalu lama akan menyebabkan cecair terkumpul di dalam bekas plastik penyah-lembapan berkenaan.

Letakkan bersama material jenis kulit (leather) sebagai pembalut
Material jenis kulit yang berukuran besar yang digunakan untuk membalut kepingan gambar atau cetakan adalah langkah yang baik. Ia juga berperanan sebagai penyerap lembapan paling berkesan.

Simpan di dalam ruangan berhawa dingin
Menyimpan kesemua koleksi yang ada di dalam ruangan atau bilik berhawa dingin adalah tips yang paling ideal untuk menyimpan dalam tempoh lama. Lebih bagus jika anda turut menggunakan penghawa dingin yang dilengkapi mesin penyah-lembapan untuk mendapatkan kesan terbaik.

Speak Your Mind

*

Other BluInc Magazine Titles