5 ikon fesyen popular Perancis

Mereka adalah wanita yang begitu berbakat dalam dunia seni dan modeling. Gaya signature yang tersendiri serta citarasa fesyen yang berbeza menjadikan mereka sering menjadi ikutan penggemar fesyen. Bermula dengan era ketika Coco Chanel menjadi ikon paling berimpak di negara itu, kini siapakah lima wanita yang mampu merangkul gelaran itu?

Vanessa paradis

Dikenali sebagai antara model Perancis paling dikenali, Vanessa Paradis yang dilahirkan pada 22 December 1972 sebenarnya mula muncul dikhalayak ramai sebagai seorang penyanyi ketika masih kanak-kanak. Wajahnya yang unik membuka laluan dalam dunia fesyen dengan meluas apabila pernah muncul dalam kempen Coco Chanel. Gaya signature Vanessa pula adalah bercirikan klasik dan ia menjadi lebih terserlah setiap kali Vanessa berada di sebelah suaminya, Johnny Depp yang turut terkenal dengan fesyen quirky!

 

Marion cotillard

Bintang yang pernah membawa watak dalam filem terkenal, La Vie en Rose ini sememangnya tidak pernah jemu menampilkan sentuhan gaya yang menawan. Lengkap dengan wajah yang cantik, Marion Cotillard menjadi ikutan sebahagian besar pengikut fesyen disebabkan gaya fesyennya yang sentiasa menitikberatkan ciri feminin dan anggun. Tidak hairanlah mengapa Marion dipilih sebagai wajah Dior untuk kempen ‘Lady Dior’ dan membintangi watak fiksyen rekaan John Galliano untuk sebuah filem online mini pada tahun 2009.

 

Audrey Tautou

Gaya yang dipakai Audrey Tautou ketika menjiwai watak sebagai Coco Chanel dalam filem Coco avant Chanel ternyata memberikan inspirasi bermakna bagi pengikut fesyen seluruh dunia. Masakan tidak, Coco Chanel yang menjadi ikon fesyen terkemuka seolah-olah menjadi hidup selepas dilakonkan Audrey. Apa jua yang disarungkan pada tubuh badannya dalam filem itu sentiasa menampilkan rekaan pakaian yang begitu klasik sekaligus mengembalikan semula gaya itu pada hari ini. Kebijaksanaan dan bakat mengagumkan Audrey ternyata tidak menghampakan peminat fesyen menerusi filem terbabit.

 

Laetitia Casta

Tuah hanya pada wajah. Itulah kekuatan Laetitia yang mempunyai wajah begitu cantik dan menarik hingga mengheretnya ke dunia permodelan. Ditemui agen dari Agensi Model Madison ketika Laetitia sedang bercuti bersama keluarganya, dia terus dilamar dan dipanggil untuk test shoot. Tentunya ketika itu Laetitia tidak diberikan sebarang solekan dan pakaian yang cantik namun wajahnya yang menawan sudah cukup untuk menarik ramai penggiat fesyen. Ini termasuk Jean Paul Gaultier dan Paul Marciano. Anda pasti akan mengingatinya sebagai wajah di sebalik jenama kosmetik, L’Oreal.

 

Charlotte Gainsbourg

Gayanya yang bersahaja, santai dan street chic menjadikan Charlotte Gainsbourg seorang ikon fesyen Perancis paling diminati. Dilahirkan pada 21 Julai 1971, Charlotte merupakan seorang penyanyi dan penggubah lagu selain berlakon. Mungkin bakatnya diwarisi oleh ibunya yang juga penyanyi terkenal Perancis pada tahun 70an iaitu Jane Birkins. Apa pun, citarasa fesyennya yang menggambarkan keselesaan dalam fesyen sering menjadi ikutan fashionista muda bukan sahaja di Perancis, malah di seluruh dunia.

Comments

  1. zaza says:

    I always love Audrey Tautou

Speak Your Mind

*

Other BluInc Magazine Titles