Setelah hampir sebulan berpenat lelah mencari rezeki, tentunya ‘habuan’ yang setimpal dicari-cari demi memenuhi kepuasan diri. Menjamu selera di restoran menarik antara idea terbaik untuk membayar balik tenaga yang ‘dikerah’.
Kenali lima restoran eksklusif dalam negara yang menyediakan pelbagai hidangan enak dan menarik untuk dicuba.
Enak KL
Adakalanya kerinduan terhadap masakan kampung terbawa-bawa akibat jemu dengan hidangan harian di depan mata. Apatah lagi manisan tradisional yang hanya mampu dinikmati ketika zaman kanak-kanak kini semakin sukar dicari. Jika masakan Melayu yang diinginkan, Restoran Enak KL adalah jawapannya. Menyediakan pelbagai hidangan yang menggunakan rempah dan herba yang segar, Enak KL pasti menaikkan selera anda. Malah, Enak KL juga terkenal dengan pelayannya yang mesra membuatkan anda seperti pelanggan yang begitu istimewa.

Lokasi: Starhill Gallery, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur
Hidangan istimewa: Botok-botok, Daging bakar asam jawa, Ayam goreng lengkuas dan manisan kelapa muda enak.

Restoran Dubrovnik
Jika anda mahukan kelainan dalam hidangan, Restoran Dubrovnik mampu menjanjikan rasa berbeza. Berasaskan hidangan Mediterranean Eropah, Dubrovnik menyediakan pelbagai resipi tradisi dari negara Spain, Perancis, Greece, Itali dan Croatia. Hidangan yang menggunakan pasta dan roti di restoran ini juga segar dan asli memandangkan ia dihasilkan sendiri kumpulan chefnya pada setiap hari. Ia bertujuan memberikan kualiti rasa yang terbaik untuk pelanggan yang hadir. Paling menarik, berkemungkinan anda tidak akan menemui restoran Croatia seperti ini di mana-mana negara Asia Tenggara kecuali di Malaysia!


Lokasi: Solaris Mont Kiara, Mont Kiara, Kuala Lumpur
Hidangan istimewa: Ravioli Adriatic, Piza Montanara, Chicken Parmezan, Lamb Croatia dan Crepe Suzette
Ciao Restaurante
Tidak mengapa jika anda belum pernah menjejaki negara Itali kerana anda mampu menikmati suasana seperti di sana hanya di Ciao Restorante. Keindahan alam hijau yang mengelilingi restoran membuatkannya lebih istimewa kerana Ciao Restorante terletak bersebelahan kelab golf. Hidangan asli Itali yang disediakan pastinya menambat hati pelanggan kerana rasanya yang begitu segar, lazat dan diberi sentuhan moden untuk membuatkannya kelihatan lebih kreatif dan menarik. Cukup sesuai untuk anda yang ingin menjamu selera ditemani suasana yang nyaman walau di tengah-tengah kota yang sentiasa sibuk.

Lokasi: No.20a, Jalan Kampung Pandan, off Jln Tun Razak, Kuala Lumpur
Hidangan istimewa: Tortellini prosciutto e funghi, Branzino, Pollo alla Diavola, Piza CIAO dan Panna Cotta.
Restoran MeatWorks
Adakalanya anda terasa jemu dengan suasana restoran yang formal kerana hati meronta untuk dibawa ke restoran yang lebih kasualdan lebih laidback. Jika ini yang dirasai, Restoran MeatWorks adalah jawapannya. Memperkenalkan konsep yang berbeza berbanding restoran lain, MeatWorks bukan sahaja menawarkan khidmat restoran malah turut menyediakan deli yang menjual bahan daging. Selain itu, meat studio juga dibina untuk pelanggan mengikuti kelas memasak mahupun menjadikannya sebagai tempat untuk berkumpul. Antara restoran paling sesuai untuk meluangkan masa gembira bersama keluarga mahupun rakan-rakan lama.


Lokasi: Jalan Solaris 5, Block H, Solaris Mont Kiara, Mont Kiara, Kuala Lumpur
Hidangan istimewa: MeatWorks B.Y.O Burger, BBQ Spare Ribs, Creamed Potato Mash, Philly Cheese Steak Sandwich dan Homemade Tiramisu


Restoran Tanzini
Resipi dengan masakan tradisi Itali tetapi diberi sentuhan rasa Asia dan dipersembahkan gaya ala masakan Australia. Gabungan hebat dalam hidangan ini tentunya boleh dinikmati di Restoran Tanzini. Berslogankan from farm to table, Tanzini menyediakan hidangan hanya daripada bahan-bahan segar dengan rasa yang lazat dan menarik. Sementara pemandangan indah kota Kuala Lumpur yang boleh dinikmati dari restoran di tingkat 28 ini juga mengagumkan lagi pelanggannya. Pilihan terbaik bagi mereka yang gemarkan hidangan Barat dikelilingi panorama hebat bersama si dia yang tersayang.

Lokasi: Tingkat 28, GTower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Hidangan istimewa: Forest Bread Bowl, Tanzini Antipaste Tower, Tanzini Tiger Prawn Vongole, Soft-Shell Crab Salad, Tiramisu A Pezzi





