
Lewat ini P.Ramlee menjadi subjek budaya popular dan wacana politik apabila saluran berprestij History Channel menyiarkan dokumentari biografinya. Glam ke Pesona Pictures untuk menemui pengarahnya Datin Paduka Shuhaimi Baba.
Jikalau di dalam hartanah, yang penting adalah lokasi, lokasi dan lokasi. Di dalam dokumentari pula adalah subjek, subjek dan subjek. Diulang tiga kali kerana wujud kerelevanannya. Lebih kurang 12 tahun lalu Datin Paduka Shuhaimi Baba telah mengumpul data untuk menghasilkan sebuah filem biografi berkisarkan seniman agung Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee.
Pendokumenan ikon sinema tempatan yang aktif sekitar 1950-an hingga 1960-an itu menggesa pasukan penyelidik dan pembangunannya menemu ramah seniwati serta seniman yang berada bersama-sama dengan P. Ramlee pada waktu itu. Mereka ini terdiri daripada golongan warga emas. “Old is gold, yang lama itu emas,” kata Shuhaimi.
Pada waktu itu Dato’ Ahmad Daud dan Datin Saadiah sudah tidak sihat dan sebelum mereka kembali ke rahmatullah, dia telah mendokumenkan temu bual bersama mereka sebagai bahan penyelidikan untuk filemnya. Sungguhpun dana yang diraih tidak mencukupi untuk menghasilkan filem pada waktu terdekat ini, tetapi tender yang dibuka oleh History Channel menepati kandungan maklumat di arkib rumah produksinya.
Warga Malaysia tanpa mengira latar belakang terpaku di hadapan televisyen menonton riwayat hidup ikon sinema tempatan ini
Dengan usul dan bahan pengisian mapan, Pesona Pictures dipilih menghasilkan dokumentari pertama P.Ramlee dengan kerjasama FINAS dan saluran History Channel. Shuhaimi memang peka terhadap subjek pelakon veteran (produk rujukan: filem Layar Lara) dan baginya untuk diberi kepercayaan merakamkan dokumentari ulung P. Ramlee yang bercita rasa antarabangsa, dia cukup berbesar hati kerana menepati kecenderungannya.
Usaha produksinya mengumpul dan memfilemkan dokumentari selama lima jam dipotong untuk kesesuaian kapasiti masa siaran 90 minit. Buat pertama kali, ikon sinema tempatan kita diberi ruang di saluran History dan BIO menerusi Astro. Usaha ini turut membangkitkan lagi kesedaran sivik masyarakat kita merangkul ilmu sejarah.
Resipi dokumentari yang hebat, kata Shuhaimi ialah dedikasi terhadap penyelidikan. “Bergantung kepada subjeknya, bagi P. Ramlee, di samping bahan yang telah dikumpulkannya, pihak penyelidikan dan pembangunan (R&D) meluangkan masa selama enam bulan hanya untuk kerja-kerja penyelidikan sahaja.
Bahan-bahan itu distrukturkan mengikut format wayang tiga babak, bermula dengan babak pengenalan, disusuli konflik pada babak kedua sebelum diakhiri penutup pada babak ketiga. Yang penting adalah untuk mengekalkan momentumnya supaya penonton tidak hilang minat untuk terus menonton,” kata Shuhaimi. Tambahnya, “Ini tidak menjadi masalah, kerana bahan yang kami kumpul semuanya segar dan cara penyampaian kami baru.”
Bagaimanapun katanya banyak yang tidak ditunjukkan di dalam dokumentari itu. “Kami terpaksa mengesyorkan kepada penerbit eksekutif informasi yang penting dan bersifat sensasi tetapi tidak boleh disiarkan kerana ia sensitif.” Pun begitu, dengan kos RM430,000, Pesona Pictures berjaya menghidupkan semula kisah kehidupan P. Ramlee.
Tiada gambaran kembali (reenactment) boleh dilakukan dan temu ramah subjek yang masih hidup haruslah dipentaskan
Warga Malaysia tanpa mengira latar belakang terpaku di hadapan televisyen menonton riwayat hidup ikon sinema tempatan ini, penjenamaan dokumentari tersebut dengan saluran History Channel membantu menaikkan lagi kadar populariti rancangan. Ia juga turut mencapai piawaian prestasi yang ditentukan oleh pihak History Channel sendiri.
Kata Shuhaimi, History Channel memberi mereka rangka tindakan khas yang berfungsi sebagai format untuk dipatuhi supaya ia mencapai kualiti yang diinginkan.
“Ini adalah kesempatan untuk kami belajar cara mereka membuat dokumentari bernilai antarabangsa.” Perbelanjaan telah diagihkan untuk membeli beberapa klip filem lakonan P. Ramlee daripada Shaw Brothers Pte. Ltd. yang anggaran kosnya bernilai RM7,000 bagi setiap satu klip dua minit.
Ada juga klip-klip dari arkib RTM yang terpaksa dihantar untuk kerja baik pulih dan pembersihan, ini juga melibatkan kos. Tambahan pula, untuk membuat penggambaran di Jalan Ampas, Singapura, terpaksa membayar sejumlah bayaran kepada Kerajaan Singapura bagi mendapat permit kebenaran.
Pembelian klip-klip dan penggambaran ini perlu untuk menghidupkan lagi dokumentari kerana syarat yang diletakkan oleh History Channel ialah, tiada gambaran kembali (reenactment) boleh dilakukan dan temu ramah subjek yang masih hidup haruslah dipentaskan. Ini bermaksud ia diberi perincian dan keutamaan dari segi set, prop dan lain-lain kerja kreatif.

Shuhaimi bersyukur kerana tiada masalah rumit berlaku sepanjang penggambaran, cuma sukar bagi mereka untuk kekal objektif. Masing-masing di dalam pasukan produksi meminati P. Ramlee dan ini penting untuk menjayakan subjek. Masing-masing mempunyai babad-babad sentimental yang menjadi kegemaran, jadi hanya yang relevan dipilih.
Banyak kali penerbit eksekutif perlu mengingatkan mereka supaya kekal objektif, jangan terbawa-bawa sangat sentimen sebagai peminat.Ini kerana mereka terdedah kepada maklumat yang tidak ditapis dan membuatkan mereka berasa penuh emosi, marah dan sedih.
Jikalau boleh, semuanya ingin diceritakan kepada penonton, namun masa siaran adalah terhad. Shuhaimi juga menonton beberapa dokumentari biografi pelakon Hollywood yang antaranya ialah kisah Katherine Hepburn sebelum produksi dimulakan.
Sungguhpun Shuhaimi tidak memberikan jawapan apabila diajukan soalan “Filem lakonan P. Ramlee yang manakah menjadi kegemaran?,” namun daripada lenggok ceritanya, dia berulang-kali menyebut “Ibu Mertuaku” meninggalkan kami dengan gambaran bahawa filem itu terkesan di hatinya. Lagi yang menarik ialah lagu-lagu P. Ramlee.
Jikalau kita masukkan semua kandungan yang kritikal dan berbibitkan kekecewaan, ramai penonton akan sayu dan menangis.
Walaupun liriknya di dalam bahasa Melayu dan garapan dokumentari harus menepati pemahaman penonton antarabangsa, Shuhaimi menganggit semula lagu-lagu P. Ramlee untuk dimainkan sebagai muzik latar belakang.
Ujar Shuhaimi, “Sebagai Pengarah Filem, P. Ramlee harus mengetuai krew-krew produksinya dan dia telah berjaya memberi mereka inspirasi untuk bekerja melalui lagu-lagunya.” Terlampau banyak yang dilakukan oleh P. Ramlee dan sumbangannya cukup lumayan.
“Jikalau kita masukkan semua kandungan yang kritikal dan berbibitkan kekecewaan, ramai penonton akan sayu dan menangis.” Dokumentari ini turut bersifat peribadi kerana Shuhaimi pernah berjumpa dengan anak P. Ramlee yakni Nasir Ramlee (kini Allahyarham) dan dia sendiri berkata “Macam mana you nak buat cerita Daddy I?” dan memberitahu akan sedikit syarat-syarat yang perlu Shuhaimi hormati agar tidak menimbulkan isu dan mengaibkan sesiapa.
Antara cerita yang tidak sempat dimasukkan di dalam dokumentari ialah kehidupan P. Ramlee sewaktu penghujung kematiannya. Dia sebenarnya berniat untuk menghasilkan filem warna pertamanya yang bersifat kerohanian bertajuk “Hidayat” dan lagu “Air Mata di Kuala Lumpur” sebenarnya bukanlah lagu terakhir nyanyiannya tetapi lagu terakhir ciptaannya.
Hanya setelah kematiannya, Puan Seri Saloma telah menyanyikan lagu itu. Lagi cerita lucu yang tidak sempat disiarkan ialah kisah P. Ramlee dan Dato’ Aziz Satar, di mana mereka ingin pergi menari di kelab kabaret pada suatu masa dahulu.

Tugas Aziz Satar ialah untuk mencari kereta dan mengisi petrol manakala P. Ramlee pula harus belanjanya minum. Apabila Aziz Satar pulang membawa kereta, P. Ramlee pula mengatakan yang dia tidak ada duit, kesemua duitnya telah diberikan kepada peminta sedekah.
Cerita ini telah dikongsi oleh Aziz Satar dan dia begitu kecewa pada malam itu kerana mereka tidak berkesempatan pergi berjoget.
Moralnya di sini, P. Ramlee adalah seorang yang pemurah. Lantas Shuhaimi menyoal, “Jadi kenapa pada saat penghujung nyawanya, dia hidup di dalam kepapaan? Jikalau kita prihatin, penonton harus lakukan sesuatu akan isu hak harta intelektual agar pisang tidak berbuah dua kali dan sejarah tidak berulang kembali.”




