
Di zaman moden ini, masih ada lagi kah pasangan yang bercinta selepas kahwin? Itulah yang berlaku kepada Datin Umie Aida dan dia tidak segan silu untuk berkongsi kisah cintanya yang cukup dramatik bagaikan jalan cerita sebuah filem! Dan walau pun sudah bergelar isteri, dia berikrar tidak akan bersara dari dunia seni lakonan yang begitu dicintainya.
Duduk santai di sofa empuk White Studio, saya membuka bicara bertanyakan fasal perkahwinannya dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan
Angin tidak hujan tidak, tup tup keluar berita berita Umie Aida berkahwin di Mekah! Hebah di dada-dada akhbar kisah pernikahan dramatis jelita tersebut yang tambah sensasi tatkala lelaki pilihannya adalah seorang ahli korporat berprofil tinggi.
Pertama kali terbaca akan khabar itu, saya dan Wirda saling bertanya, “Bila pula masanya Umie bercinta?” Dan pertemuan sulung dengan Umie begitu menyenangkan sekali. Tiada pengawal atau pembantu peribadi, tidak diekori entourage yang menyemakkan.
Dihantar sendiri oleh suami tersayang ke muka pintu studio, Datin Umie Aida melangkah masuk ke studio sendirian. Sambil disolekkan, aktres berkenaan mula bercerita mengenai aktiviti terbarunya yakni teater Natrah yang ketika itu baru sahaja mula dipentaskan. Duduk santai di sofa empuk White Studio, saya membuka bicara bertanyakan fasal perkahwinannya dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47.

Bercinta Selepas Kahwin
Ya, kisah cinta Umie bukan sembarangan cerita, boleh dibuat filem jalan ceritanya!
Zaman sekarang ini cukup jarang sekali kita mendengar pasangan yang bercinta selepas berkahwin. Tetapi itulah yang berlaku kepada Umie Aida yang bertemu jodohnya di usia 37 tahun. Ya, kisah cinta Umie bukan sembarangan cerita, boleh dibuat filem jalan ceritanya!
“Saya pernah melalui episod cinta sakan, kemudian beberapa kali gagal bercinta… sampaikan saya enggan lagi terikat dengan sebarang hubungan sebab fikir saya, cukup-cukuplah! Kalau ada yang ingin mendekati, saya akan beritahu dengan tegas dari awal-awal lagi yang saya hanya mahukan persahabatan biasa; tidak lebih dari itu!” kata Umie yang turut berseloroh, mungkin semua ini penangan watak-watak wanita teraniaya yang kerap kali dibawanya!



