Fokus untuk bulan Januari adalah 20 pengarah dan bintang filem tempatan paling dikagumi.

1 Vanidah Imran
Filem The Red Kebaya membolehkan Vanidah Imran menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 pada 2007. Namun Vanidah masih merendah diri dan menganggap banyak lagi yang masih belum dipelajari.

2 Melissa Saila
Puteri kepada seniwati Mariani dan anak saudara kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ini berlakon sejak kecil lagi. Daripada membintangi drama bersiri remaja Kecil Kecil Cili Padi, Melissa kini bergelar Pengarah Drama dan Filem pula.

3 Datin Paduka Shuhaimi Baba
Anugerah demi anugerah diterima pengiktirafan sebagai Pengarah Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik bagi filem Pontianak Harum Sundal Malam I dan II.

4 Norman, Yusry, Edry KRU
Pernah suatu ketika, kumpulan adik-beradik ini menjadi fenomena di Malaysia. Album demi album, konsert demi konsert, semuanya mendapat sambutan luar biasa.

5 Afdlin Shauki
Filem pertamanya Buli, mengejutkan filem industri tanah air. Kejayaan filem tersebut membuka ruang kepada Afdlin Shauki untuk terus gah dengan gelaran Pengarah Filem.

6 Erra Fazira
Selepas merangkul gelaran Ratu Cantik Malaysia 1992, namanya terus melonjak dalam dunia seni. Kemudiannya Erra Fazira menerima tawaran watak utama untuk filem Sembilu arahan Dato’ Yusof Haslam. Filem itu memecah kutipan luar biasa, justeru meletakkan namanya sebaris dengan aktres-aktres popular zaman itu.

7 Rosyam Nor
Hero filem Melayu ini antara pelakon lelaki yang mendapat anugerah paling banyak setakat ini. Rosyam juga antara pelakon lelaki yang menjadi favourite pengarah-pengarah filem.

8 Erma Fatima
Nama sebenar Fatimah bt Rahmad tetapi lebih dikenali sebagai Erma Fatima. Hari ini, Erma cukup aktif mengarah produksi pentas teater.

9 Dato' Rahim Razali
Dia antara legenda industri seni tanah air. Bergelar pelakon drama, pelakon filem, pengacara sukan, pengarah, penerbit filem, penerbit TV, dan penulis skrip tersohor di Malaysia.

10 Othman Hafsham
Mula dikenali setelah pertama kali memenangi anugerah skrip terbaik menerusi filem Adik Manja di Festival Filem Malaysia Pertama pada 1980. Paling meninggalkan kesan arahannya untuk siri komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang pernah menjadi fenomena.

11 Datin Seri Tiara Jacquelina
Pengarah Urusan Enfiniti Productions, Datin Seri Tiara Jacquelina aktif dalam arena lakonan dan teater. Popular setelah membintangi watak utama filem Puteri Gunung Ledang yang turut disenaraikan tangga ke 49 Best Foreign Language Film di Academy Awards 2004.

12 Mamat Khalid
Karya-karya terawal Mamat Khalid termasuk Pinang Durian, Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel dan AbangWe. Menerusi drama Pinang Durian, karyanya diiktiraf di Anugerah Skrin Panca Delima 2001 bersama anugerah Pengarah Terbaik.

13 U-Wei
U-wei atau nama sebenar Zuhir Haji Saari cukup sinonim dengan filem-filem yang cukup berbeza jika dibandingkan dengan karya-karya filem Melayu yang lain. Filem Kaki Bakar arahannya pada 1995 antara filem tanah air pertama yang ditayangkan di Festival Filem Cannes.

14 Fasha Sandha
Mula berjinak dalam dunia periklanan dan peragawati sejak di usia 15 tahun lagi, Fasha Sandha menerima watak pembantu untuk filem pertamanya Black Maria pada 2003. Ia sekali gus mengubah persepsinya untuk terus kekal di dalam industri perfileman Melayu.

15 Nasha Aziz
Bermula sebagai peragawati pada awal 90-an, Nasha Aziz mula diperkenalkan dalam dunia seni lakonan oleh Datin Seri Tiara Jacquelina. Dalam karier modeling, Nasha pernah mendapat gelaran ‘Supermodel Nombor Satu’ di Malaysia.

16 Tan Sri Dr Jins Shamsuddin
Sejak di akhir tahun 1950-an lagi, Tan Sri Jins Shamsuddin telah pun membabitkan diri dalam filem-filem Melayu dan acap kali membintangi filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebelum terbabit dalam pengarahan filem. Jins mula mengarah filem menerusi filem pertamanya ‘Bukan Salah Ibu Mengandong’ pada 1969 lantas menaikkan lagi namanya.

17 Ahmad Idham
Bermula sebagai pelakon pembantu, hari ini cemerlang dengan gelaran Pengarah Filem. Filem-filem arahannya pula antara filem Melayu yang menembusi sasaran box office hingga berjaya mengutip jutaan ringgit selepas beberapa minggu tayangan.

18 Fauziah Nawi
Kariernya dalam dunia seni bermula sebagai juruhebah radio sebelum berpindah ke gelanggang lakonan. Memang tidak dinafikan Fauziah Nawi antara pelakon wanita yang paling disegani.

19 Maya Karin
Kemuncak namanya bukan sahaja di tanah air, malah ke Fukuoka, Jepun dan Sepanyol setelah diumumkan Anugerah Aktres Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-49 pada 2004 dan Terror Film Festival 2005 menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam.

20 Dato' Yusof Haslam
Dato’ Yusof Haslam mula berlakon pada era 70-an sebagai pelakon tambahan dan seterusnya diberi kepercayaan memegang watak utama. Filem pertama arahannya, Bayangan Maut menghimpunkan pelakon-pelakon popular seperti Ella dan Noorkumalasari pada 1990.




